Assalamualaikum wbt,

Tips Parenting - Bagaimana Mendidik Anak Dari Imam Hasan Al Banna | Siapa yang tidak kenal dengan Imam Hasan Al Banna. Beliau yang dikenali seantero dunia terhasil dari didikan seorang ibu dan ayah dirumah. Bagaimana kita melihat beliau, begitulah hasil didikan ibubapanya dirumah. Inginkah kita menjadi ibu ayah yang terhasilnya manusia yang hebat dari segi akhlak, ilmu dan juga akidahnya? Jom teruskan pembacaan dari penulisan ini.

Sebelum itu, mommy jelaskan sedikit tentang siapa Imam Hasan Al Banna. 

Siapa Hasam Al Banna?


Hassan Ahmad Abdul Rahman Muhammed al-Banna (Arab atau Jawi: حسن أحمد عبد الرحمن محمد البنا) atau ringkasnya Hassan al-Bannaadalah pendakwah, reformis sosial dan politik Mesir dan pengasas gerakan Ikhwanul Muslimin. Pada usia 12 tahun, beliau sudah menghafal al-Quran. Beliau menyertai kumpulan Latihan Akhlak dan Jemaah al-Suluka al-Akhlaqi di sekolah. Beliau rajin menghadiri majlis-majlis zikir pimpinan al-Ikhwan al-Hasafiyyah. Pada usia 23 tahun, beliau menubuhkan gerakan Ikhwan Muslimin di bandar Islamailiyyah pada Mac 1928. Hasil kegigihan beliau, gerakan dakwah beliau mendapat sambutan di Mesir dan di setiap pelusuk negara-negara Islam. Pada tahun 12 Februari 1949 beliau meninggal dunia setelah ditembak mati oleh seorang pembunuh upahan arahan sulit kerajaan Mesir ketika itu.

10 Wasiat Imam Hasan Al Banna

  1. Dirikan solat apabila mendengar azan, walau apapun jua keadaan pada waktu itu.
  2. Bacalah al-Quran, atau pelajari tafsirnya atau dengarlah bacaan orang lain, atau zikirlah kepada Allah. Jangan engkau gunakan sebahagian ruang waktumu untuk hal-hal yang tidak berfaedah.
  3. Bercakaplah dengan bahasa Arab yang fasih, kerana ia termasuk dalam syi'ar Islam.
  4. Jangan banyak berdebat dalam apa jua hal. Pertengkaran tidak akan mendatangkan sebarang kebaikan.
  5. Jangan banyak ketawa, kerana hati yang berhubung dengan Allah sentiasa tenang dan mantap.
  6. Jangan suka berjenaka atau berolok-olok, kerana umat yang berjuang tidak mengenal yang lain selain kesungguhan.
  7. Jangan engkau tinggikan suaramu melebihi keperluan pendengar. Ia menunjukkan kebodohan dan menyakitkan.
  8. Jauhi menghina orang, mencela organisasi dan jangan berbicara kecuali perbicaraan yang baik.
  9. Perkenalkan dirimu kepada orang yang engkau jumpai, walaupun ia tidak meminta daripadamu, sebab dasar dakwah kita adalah cinta dan saling kenal mengenal.
  10. Kewajipan selalu lebih banyak daripada waktu yang tersedia. Oleh itu bantulah orang lain untuk memanfaatkan waktunya. Jika engkau mempunyai urusan, maka selesaikanlah dalam waktu sesingkat-singkatnya.

Sumber : wikipidea


9 Tips Mendidik Anak Hasan Al Banna

Saya suka ikut tips dari buku parenting ini. Buku parenting yang paling saya sayang dan saya suka contohi.

Istimewanya buku ini adalah sebab, yang menyampaikannya bukan 'parent', tapi anak. Ingatan seorang anak pada didikan murni seorang ayah.

Saya nak tahu, apa yang menyebabkan didikan dan kasih sayang kita ni boleh dikenang oleh seorang anak walaupun bila kita dah tiada. Macamana ia boleh meninggalkan bekas.

Panjang. Tapi berbaloi. Kisah didikan
IMAM HASSAN AL BANNA.

1. Jadi guru tauhid dan akidah anak.

Jangan lepaskan didikan mengenalkan anak kepada Tuhan pada guru atau orang lain. Ingatkan anak akan setiap sesuatu dengan Allah. Anak yang dididik mengenal Tuhan dengan betul akan sendiri takut pada Allah.

Imam Hassan mengajar sendiri anaknya dengan kitab. Selain itu, hendaklah sentiasa mengaitkan setiap suatu perkara dengan Allah.

Misalnya, jika anak puji makanan sedap. Ingatkan anak pada Allah yang memberi deria rasa. Kalau demam, sedap macamana pun kita tak boleh nak makan.

2. Tiada suara jeritan dirumah.

Susah kan? Tapi, itulah. Rumah yang banyak suara keras, jeritan, gaduh, bahasa kasar, maki, tidak ada malaikat nak masuk.

Imam Hassan akan pergi hampir kepada anak untuk bercakap dengan mereka. Beliau tidak akan melaung-laung. Apatah lagi menjerit.

Tips tambahan :
Jika terlepas, minta maaf. Bagitahu anak kita salah kerana berkasar. Dan kita tahu Tuhan tak suka perbuatan kita yang kasar dan keras.

3. Beri anak duit khas.

Alasannya supaya anak berasa cukup dan tak perlu meminta-minta dari orang lain. Ikutlah sesuai dengan usia anak.

Bila seorang bertanya pada Imam Hassan, berapakah wang simpanannya sebulan. Jawapannya, tiada. "Aku infakkan semua pada keluarga dan yang memerlukan. Itulah simpananku".

Lalu ditanya pula, tidakkah beliau risau jika anaknya menggunakan wang di jalan yang salah. Jawapannya begini.... "Bila sumber rezekimu halal, maka jangan risau ke mana mengalirnya rezekimu dan ke mana anak-anak membelanjakan wangmu". Padu!

4. Tidak menyakiti anak.

Ada sekali anak perempuannya bermain tanpa selipar di hadapan tetamu sedangkan sudah diperintahkan sebelum itu. Walaupun Imam Hassan sedang marah dan anaknya tahu dari wajahnya bahawa beliau sedang marah, Imam Hassan tidak berbuat apa-apa sehinggalah tetamunya tadi balik.

Kemudian beliau minta anaknya mengambil rotan, lalu beliau merotan anaknya di tapak kaki. Pukulan itu walaubagaimanpun tidak menyebabkan anaknya sakit tetapi tertawa kerana geli. Namun kesannya, anak itu ingat untuk memakai selipar semasa bermain.

5. Tidak tegur secara terus atau memalukan.

Pernah sekali anaknya sangat asyik membaca komik. Imam Hassan tidak menegur secara terus, tetapi membelikan buku-buku kisah tokoh untuk diberikan pada anaknya.

"Ayah kira yang ini lebih baik dan menyeronokkan untuk kamu baca".

Tapi beliau suruh baca ke? Tidak. Cadang sahaja. Apatah lagi membebel.😅

6. Sentiasa ada masa untuk makan dan bermain dengan anak-anak.

Walaupun sangat sibuk dengan urusan ummah, Imam Hassan tak pernah sekalipun tertinggal untuk makan bersama dengan keluarga.

Jika terlalu penat, beliau pulang ke rumah dan berehat sebentar.
"Izinkan ayah berehat sebentar. Kejutkan ayah selepas 7 minit". Selepas 7 minit, beliau bangun dan bermain dengan anak-anaknya.

7. Urusanku untuk ummah adalah penting. Tetapi, urusan anak-anakku adalah lebih penting lagi.

Ada satu waktu, anaknya tertinggal bekal makanan di rumah dan Imam Hassan menyedarinya.

Walaupun pagi itu beliau mempunyai mesyuarat penting dengan Ikhwan Muslim, beliau minta izin untuk hadir lewat semata-mata untuk menghantar bekal makanan itu pada Si Anak.

Anak berkata bahawa itu adalah antara perbuatan ayahnya yang takkan dilupa sepanjang hayat.

8. Menjaga pengaruh di sekeliling anak.

Imam Hassan sangat mementingkan guru-guru dan orang-orang di sekeliling anaknya. Ini memang penting kerana anak-anak perlu dididik bukan sahaja tentang ABC tetapi juga dari segi akhlak dan pergaulan untuk membina anak itu secara keseluruhannya sebagai mukmin.

Maka memilih guru-guru dan sekolah yang betul adalah salah satu kewajipan penting sebagai ibu bapa.

9. Mengajak anak kecil berbincang isu besar.

Misalnya saat Imam Hassan mahu menderma sebahagian barangan rumah kepada pejabat Ikhwan Muslim, beliau bertanya pada anak-anak pendapat mereka.

Anak gadisnya Wafa, selalu diberi tanggungjawab besar mencatit isi penting semasa mesyuarat. Menjadikan anak itu punya rasa bangga kerana dipercayai oleh Si Ayah.
...........

Anak-anak Imam Hassan Al Banna membesar sebagai orang yang cemerlang dalam pekerjaan dan juga anak yang berbakti untuk ummah.

Yang pentingnya anak-anak ini menganggap bahawa apa saja yang mereka dapat pada waktu ini adalah asbab didikan baik dan penuh hormat dari seorang ayah.

Setiap kali menyebut nama ayahnya, anak-anak Imam Hassan akan mengiringi nama beliau dengan sebutan ini, "Ayah, semoga beliau dirahmati Allah".

Dan tidak adalah rahmat lebih besar bagi ibu ayah melainkan saat anak-anak mendoakannya sepanjang masa. 😊

Siti Suryani Yaakop
#kaknis

Link asal :
https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=1818461168297178&id=100003999362517